ARKIB : 21/02/1999
PERSAINGAN empat pasukan
merebut dua tempat teratas melayakkan diri ke bola sepak Perdana Dua terus
terbuka luas apabila dua pertemuan semalam sekadar menyaksikan keputusan seri.
Malay Mail yang bertemu Tenaga
Nasional Berhad (TNB) di Stadium Bank Simpanan Nasional, Bangi, terpaksa akur
dengan keputusan seri 1-1 untuk masing-masing mengumpul satu mata.
Marthen Sundram muncul
penyelamat Malay Mail apabila menyumbat masuk jaringan penalti pada minit ke-83
selepas pasukannya ketinggalan 0-1 di babak pertama permainan.
Marthen yang dilayangkan kad
kuning oleh pengadil pada minit ke-17, tidak teragak-agak menolak masuk bola
selepas pasukannya dihadiah sepakan penalti kerana pemain pertahanan lawan
melakukan rempuhan dari belakang ke atas rakan sepasukannya.
TNB mendahului menerusi
jaringan Morhim Abdullah pada minit ke-16, tetapi gagal mematahkan semangat
Malay Mail untuk terus memburu gol.
Pertemuan ini turut menyaksikan
lima kad kuning lagi dilayangkan kepada pemain TNB, Wan Azlee Yusoff pada minit
ke-32, Mohd. Haniff Idris (ke-39), Anwar Ismail (ke-69), Shukri Ghazali (ke-82)
dan Roslan Ismail minit ke-86.
Sementara itu, Polis yang
menentang Tentera di Stadium Permata Petronas, Bangi, terpaksa berkongsi satu
mata apabila mencatat keputusan seri tanpa jaringan.
Perlawanan ini menyaksikan
penguasaan Tentera tetapi mereka gagal mencipta jaringan selepas melakukan
beberapa asakan berbahaya, termasuk pada minit ke-44 apabila Mohd. Rosdi Tahir
melepaskan tendangan kencang yang hampir mencecah palang gol.
Pada awal babak kedua, Mohd.
Rosdi sekali lagi mencemaskan barisan pertahanan Polis apabila melepaskan
tendangan jarak jauh, tetapi berjaya diselamatkan oleh penjaga gol, P. T.
Assogan.
Polis dan Tentera juga terpaksa
akur apabila pemain kedua-dua pasukan yang memakai jersi nombor lapan
dilayangkan kad kuning oleh pengadil, N. Sivadass dari Negeri Sembilan.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0221&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4PtpYGFN8
© Utusan Melayu (M) Bhd