PERTAHANAN PDRM Muhamad
Eskandar Ismail (kiri) diasak pemain Kedah Muhd Ariff Farhan pada aksi separuh
akhir.
Nazri Abu Bakar
sukan@hmetro.com.my
Melaka: Pemain pertahanan Polis
Diraja Malaysia (PDRM) Abd Latiff Suhaimi yakin pasukannya mampu mencipta
kejutan pada saingan pusingan kedua separuh akhir Piala Malaysia di Stadium
Hang Jebat, Paya Rumput, 15 Oktober ini.
Walaupun tewas 1-2 pada aksi
pertama di Stadium Darulaman, Alor Setar minggu lalu namun ia bukan halangan
buat The Cops menafikan kelebihan dimiliki Helang Merah yang pastinya mahu
meneruskan keazaman mereka melangkah ke final buat kali kedua berturut-turut.
Menurutnya, dia sedar dengan
kekuatan Kedah apatah lagi lawan dibarisi pemain berpengalaman seperti Baddrol
Baktiar dan pemain import Thiago Agusto serta bintang muda berkualiti tetapi ia
bukanlah halangan untuk PDRM mencipta kemenangan.
Katanya, sentuhannya bersama
Mohd Fakhrul Aiman Sidid yang menyertai skuad kebangsaan ketika ini diharap
mampu mematangkan gaya permainan mereka.
“Kami akan menjadikan latihan
dan perlawanan antarabangsa bersama skuad Datuk Ong Kim Swee sebagai pentas
menimba pengalaman dan idea penting yang akan kami terjemahkan dalam Piala
Malaysia.
“Malah, sesi latihan bersama
Harimau Malaysia juga memberi kesempatan buat kami menilai keistimewaan Baddrol
yang menjadi senjata utama skuad kendalian Tan Cheng Hoe. Bagi saya, kelebihan
kami tetap ada kerana memiliki jaringan di gelanggang lawan,” katanya.
Apapun, Abd Latiff mengaku
saingan di Kedah sebelum ini jelas memberi sedikit tekanan buat PDRM kerana
beraksi di depan puluhan ribu penyokong tuan rumah namun pertemuan kedua bakal
berlangsung di Melaka sekali gus membolehkan dia dan rakan-rakan bermain dengan
lebih yakin.
Katanya, kerjasama rakan
sepasukan akan terus dipertingkat menerusi strategi jurulatih Mohd Fauzi Pilus
dalam usaha melakar sejarah mara ke final buat kali pertama.
Sumber-Artikel ini disiarkan
pada : Khamis, 6 Oktober 2016 @ 8:42 AM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan