Ahad, 13 November 2016

Malay Mail, TNB seri 1-1

ARKIB : 21/02/1999
PERSAINGAN empat pasukan merebut dua tempat teratas melayakkan diri ke bola sepak Perdana Dua terus terbuka luas apabila dua pertemuan semalam sekadar menyaksikan keputusan seri.

Malay Mail yang bertemu Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Stadium Bank Simpanan Nasional, Bangi, terpaksa akur dengan keputusan seri 1-1 untuk masing-masing mengumpul satu mata.

Marthen Sundram muncul penyelamat Malay Mail apabila menyumbat masuk jaringan penalti pada minit ke-83 selepas pasukannya ketinggalan 0-1 di babak pertama permainan.

Marthen yang dilayangkan kad kuning oleh pengadil pada minit ke-17, tidak teragak-agak menolak masuk bola selepas pasukannya dihadiah sepakan penalti kerana pemain pertahanan lawan melakukan rempuhan dari belakang ke atas rakan sepasukannya.

TNB mendahului menerusi jaringan Morhim Abdullah pada minit ke-16, tetapi gagal mematahkan semangat Malay Mail untuk terus memburu gol.

Pertemuan ini turut menyaksikan lima kad kuning lagi dilayangkan kepada pemain TNB, Wan Azlee Yusoff pada minit ke-32, Mohd. Haniff Idris (ke-39), Anwar Ismail (ke-69), Shukri Ghazali (ke-82) dan Roslan Ismail minit ke-86.

Sementara itu, Polis yang menentang Tentera di Stadium Permata Petronas, Bangi, terpaksa berkongsi satu mata apabila mencatat keputusan seri tanpa jaringan.

Perlawanan ini menyaksikan penguasaan Tentera tetapi mereka gagal mencipta jaringan selepas melakukan beberapa asakan berbahaya, termasuk pada minit ke-44 apabila Mohd. Rosdi Tahir melepaskan tendangan kencang yang hampir mencecah palang gol.

Pada awal babak kedua, Mohd. Rosdi sekali lagi mencemaskan barisan pertahanan Polis apabila melepaskan tendangan jarak jauh, tetapi berjaya diselamatkan oleh penjaga gol, P. T. Assogan.

Polis dan Tentera juga terpaksa akur apabila pemain kedua-dua pasukan yang memakai jersi nombor lapan dilayangkan kad kuning oleh pengadil, N. Sivadass dari Negeri Sembilan.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0221&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4PtpYGFN8 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan