Oleh MUHD. ARDIE PUTRA SUHAIMI
PARA pemain PDRM giat menjalani
latihan di Kuala Lumpur semalam menjelang saingan separuh akhir kedua Piala
Malaysia menentang Kedah di Stadium Hang Jebat, Melaka esok.
‘SATU langkah lagi untuk
mencipta sejarah mara ke pentas final Piala Malaysia.’
Demikian tiupan semangat
jurulatih skuad Polis Diraja Malaysia (PDRM), Mohd. Fauzi Pilus untuk menaikkan
motivasi anak-anak buahnya menjelang ujian getir aksi separuh akhir kedua
Piala Malaysia menentang Kedah di Stadium Hang Jebat, Melaka esok.
Sebagai rekod, pasukan Sang
Saka Biru bakal berdepan cabaran hebat bagi mengurangkan defisit satu gol
selepas tewas 1-2 kepada Kedah dalam aksi pertama di Alor Setar, 30 September lepas.
Bagaimanapun, Fauzi mengakui
kelebihan tidak 100 peratus terletak kepada skuad Helang Merah itu kerana
beranggapan saingan masih lagi bersifat 50-50 terutama ketika PDRM memiliki
kelebihan jaringan di tempat lawan.
“Masa rehat dua minggu sudah
cukup untuk barisan pemain mendapatkan kembali kecergasan mereka. Dalam
perkembangan sama, kami juga telah menonton rakaman perlawanan aksi pertama
lepas di mana kami telah melihat kesilapan yang sepatutnya boleh dielakkan,
selain mengenal pasti kelemahan pasukan lawan.
“Harapan kami sudah tentu mahu
menang kerana itu sahaja cara untuk layak ke pentas akhir. Cuma, saya mahu
pemain lebih matang membuat sebarang keputusan selain tenang mengikut
perancangan supaya segalanya berjalan seperti yang kita mahu,” katanya ketika
ditemui pada sesi latihan PDRM di Kuala Lumpur semalam.
Selain memberi tumpuan dalam
aksi Piala Malaysia, Fauzi turut menjelaskan, pasukannya mempunyai satu lagi
‘final’ iaitu menentang Sarawak dalam saingan Liga Super yang mana ia penentu
bagi mengelakkan pasukannya tersingkir ke Liga Premier musim depan.
“Saya akui kami masih mempunyai
satu lagi perlawanan penting minggu depan menentang Sarawak yang mana ia adalah
misi hidup mati pasukan. Namun, ketika ini fokus lebih terarah untuk saingan Piala
Malaysia.
“Kami sudah melangkah jauh
tambahan pula bukan senang untuk mendapat peluang ini kerana ia merupakan kali
pertama PDRM berada di pentas separuh akhir. Justeru, saya mahu pemain
mengelakkan daripada melakukan kesilapan mudah yang boleh menghukum pasukan.
“Berdasarkan saingan sebelum
ini, kami mampu mencabar Kedah, malah memiliki beberapa peluang keemasan untuk
mendapat keputusan yang lebih positif di Alor Setar. Bagaimanapun, nasib tidak
menyebelahi kami apabila menghadiahkan penalti untuk mereka,” katanya.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=1014&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4N2ecdL7v
Hakcipta terpelihara
Tiada ulasan:
Catat Ulasan