ARKIB : 01/12/2008
Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
KEJUARAAN Liga Perdana yang
pernah dikecapi PDRM untuk musim 2006/2007 kini bakal tinggal kenangan selepas
mengambil keputusan untuk tidak meneruskan aksi di Liga Super musim ini.
PETALING JAYA - Denda RM10,000
selain penggantungan dalam tempoh tertentu daripada sebarang pertandingan
anjuran Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bakal menanti Skuad Polis Diraja
Malaysia (PDRM) sekiranya pasukan itu kekal mahu menarik diri daripada Liga
Malaysia musim 2009, bulan depan.
Hukuman itu dianggap lebih
ringan memandangkan PDRM - yang berstatus ahli gabungan FAM dengan hak
peruntukan RM100,000 setahun - menyatakan penarikan diri empat hari lebih awal
dari tarikh akhir pengesahan penyertaan pasukan Liga M, Jumaat lalu.
Setiausaha Agung FAM, Lt. Jen.
(B) Datuk Azzuddin Ahmad berkata, sebarang pengumuman penarikan diri yang
melewati tarikh tersebut bagaimanapun bakal membawa PDRM didenda lebih tinggi
iaitu RM50,000 oleh Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM.
"FAM akan menjawab secara
rasmi surat penarikan diri PDRM (minggu ini) tetapi mahu cuba menasihatkan
supaya menimbangkan semula keputusan itu kerana tidak molek jika sesebuah ahli
gabungan sepertinya tidak mengambil bahagian," katanya di Wisma FAM,
Kelana Jaya.
Azzuddin bagaimanapun menafikan
PDRM pernah meletakkan syarat tertentu dalam surat penarikan diri itu supaya
kadar peruntukan tahunan FAM itu dinaikkan untuk membolehkan mereka kekal
menyertai pertandingan Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia serta Piala
Presiden 2009.
PDRM dikatakan mahu 'angkat
kaki' berikutan pengunduran penaja utamanya sejak dua musim lalu, Inai Kiara
Sdn. Bhd., yang mengakibatkan mereka terpaksa melepaskan ramai pemain handalan
ke pasukan lain serta cuma bergantung kepada anggota dan kakitangan tetap yang
mungkin sukar menyaingi lawan.
Sementara itu, jelas Azzuddin,
Kelantan secara lisannya telah diberitahu bahawa mereka layak menyertai Liga
Super daripada Liga Perdana musim depan sekiranya PDRM benar-benar mengotakan
hasrat untuk menarik diri menjelang tarikh undian Liga M pada 6 Disember ini.
"Pasukan itu bakal
dinaikkan kerana menduduki tempat ketiga di belakang Kuala Muda Naza dan KL
PLUS dalam Liga Perdana 2007-2008 atau mungkin pasukan di tempat ketiga,
keempat atau kelima Liga FAM musim lalu, turut boleh mengambil alih tempat yang
ditinggalkan Kelantan itu," katanya.
Tiga pasukan yang mengekori
T-Team dan Majlis Bandaraya Johor Bahru (turut menyertai Liga Perdana musim
depan) di tempat ketiga hingga kelima Liga FAM ialah SD Mai Sarah, Majlis
Perbandaran Muar dan KSK Tambun Tulang.
Namun beliau menegaskan,
jawatankuasa perlu mengkaji keadaan tiga pasukan Liga FAM itu yang kesemuanya
bertaraf kelab khususnya dari segi kemampuan kewangan mereka untuk menyertai
Liga Perdana memandangkan terdapat beberapa pasukan lain sebelum ini yang tidak
sanggup menyahut cabaran itu.
Difahamkan sehingga Sesi
Percambahan Pemikiran Liga M 2010-2014 di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil,
Rabu lalu, hanya tiga kelab yang sudah mengesahkan penyertaan dalam Liga FAM
yang diibaratkan sebagai persaingan bahagian tiga pasukan kebangsaan, musim
depan.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1201&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz519bNBiWL
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan