Selasa, 30 Mei 2017

Nizam bukti tenaganya masih diperlukan



ARKIB : 24/05/2005

Oleh HARADIAN SHAH HAMDAN
KUALA TERENGGANU - Bekas pemain pertahanan skuad kebangsaan, Md. Nizam Jamil kembali ke kancah saingan bola sepak tempatan selepas tersisih hampir setahun akibat deretan kecederaan.

Pemain berusia 25 tahun yang pernah beraksi untuk Selangor selama hampir enam tahun, memilih untuk menyarung jersi Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam Liga Perdana musim ini.

Dia yang menandatangani kontrak dengan pasukan itu pada April lalu telah bermain sebanyak tujuh perlawanan bersama PDRM setakat ini.

Menurut Md. Nizam, tempoh setahun berehat panjang akibat kecederaan pergelangan kaki dan otot terkoyak merupakan sejarah hitam dalam kerjayanya sebagai pemain bola sepak.

Katanya, dia sendiri tidak menyangka akan mengalami deretan kecederaan sejak awal tahun lalu yang hampir membuatnya bersara dari arena bola sepak.

Ujarnya, dalam tempoh tersebut, dia yang masih mempunyai kontrak bersama Selangor hanya mengikuti aksi bola sepak tempatan melalui kaca televisyen dan laporan akhbar.

``Tetapi saya tak pernah putus asa kerana keinginan bermain tetap ada dan sebab itu saya berazam untuk kembali beraksi. Terbukti musim ini saya saya dapat bermain semula,'' katanya selepas perlawanan menentang Terengganu, di sini kelmarin.

Dalam perlawanan itu, PDRM tewas 4-1 di tangan pasukan tuan rumah.

Menurut Md. Nizam, dia sudah melupakan semua keperitan yang dialami dan tumpuannya ketika ini ialah untuk membantu PDRM mencatat pencapaian terbaik pada musim ini.

``Saya tidak kisah bermain untuk PDRM walaupun dulu pernah bersama pasukan gergasi seperti Selangor. Yang penting ialah menunjukkan permainan terbaik apabila diturunkan,'' katanya yang berterima kasih kepada pasukan itu kerana memberinya peluang kembali beraksi.

Katanya, dia juga sedang berusaha mengembalikan tahap kecergasan dan mendapatkan semula rentak permainannya.

``Masih terlalu awal untuk menilai permainan saya kerana baru sahaja berlatih kira-kira dua bulan yang lepas. Saya akui agak perlahan dan kurang cergas tetapi berikan saya sedikit masa untuk memperbaiki permainan,'' katanya.

Sebelum mengalami kecederaan, Md. Nizam merupakan salah seorang pemain tetap di barisan pertahanan kebangsaan dan kini dia berazam untuk merebut semula tempatnya.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0524&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4iY9RSgH8
© Utusan Melayu (M) Bhd