ARKIB : 24/05/2005
Oleh HARADIAN SHAH HAMDAN
KUALA TERENGGANU - Bekas pemain
pertahanan skuad kebangsaan, Md. Nizam Jamil kembali ke kancah saingan bola
sepak tempatan selepas tersisih hampir setahun akibat deretan kecederaan.
Pemain berusia 25 tahun yang
pernah beraksi untuk Selangor selama hampir enam tahun, memilih untuk menyarung
jersi Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam Liga Perdana musim ini.
Dia yang menandatangani kontrak
dengan pasukan itu pada April lalu telah bermain sebanyak tujuh perlawanan
bersama PDRM setakat ini.
Menurut Md. Nizam, tempoh
setahun berehat panjang akibat kecederaan pergelangan kaki dan otot terkoyak
merupakan sejarah hitam dalam kerjayanya sebagai pemain bola sepak.
Katanya, dia sendiri tidak
menyangka akan mengalami deretan kecederaan sejak awal tahun lalu yang hampir membuatnya
bersara dari arena bola sepak.
Ujarnya, dalam tempoh tersebut,
dia yang masih mempunyai kontrak bersama Selangor hanya mengikuti aksi bola
sepak tempatan melalui kaca televisyen dan laporan akhbar.
``Tetapi saya tak pernah putus
asa kerana keinginan bermain tetap ada dan sebab itu saya berazam untuk kembali
beraksi. Terbukti musim ini saya saya dapat bermain semula,'' katanya selepas
perlawanan menentang Terengganu, di sini kelmarin.
Dalam perlawanan itu, PDRM
tewas 4-1 di tangan pasukan tuan rumah.
Menurut Md. Nizam, dia sudah
melupakan semua keperitan yang dialami dan tumpuannya ketika ini ialah untuk
membantu PDRM mencatat pencapaian terbaik pada musim ini.
``Saya tidak kisah bermain
untuk PDRM walaupun dulu pernah bersama pasukan gergasi seperti Selangor. Yang
penting ialah menunjukkan permainan terbaik apabila diturunkan,'' katanya yang
berterima kasih kepada pasukan itu kerana memberinya peluang kembali beraksi.
Katanya, dia juga sedang
berusaha mengembalikan tahap kecergasan dan mendapatkan semula rentak
permainannya.
``Masih terlalu awal untuk
menilai permainan saya kerana baru sahaja berlatih kira-kira dua bulan yang
lepas. Saya akui agak perlahan dan kurang cergas tetapi berikan saya sedikit
masa untuk memperbaiki permainan,'' katanya.
Sebelum mengalami kecederaan,
Md. Nizam merupakan salah seorang pemain tetap di barisan pertahanan kebangsaan
dan kini dia berazam untuk merebut semula tempatnya.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0524&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4iY9RSgH8
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan