ARKIB : 22/11/2007
Oleh amran MULUP
KUALA LUMPUR Sasaran satu
piala pada saingan bola sepak Liga Super musim ini dianggap realistik bagi
pasukan Polis dan ia tidak mustahil untuk ditunaikan.
Juara Liga Perdana musim lalu
itu jelas cukup bersedia mengharungi saingan Liga Super yang dianggap lebih
getir kerana bersaing dengan lebih banyak pasukan bola sepak negeri.
Begitupun Polis tidak sangsi
mampu menghasilkan satu piala selain mengidam kedudukan lima pasukan terbaik.
Keyakinan Polis makin bertambah
sejak ditaja oleh syarikat Inai Kiara menyaksikan mereka mampu melamar beberapa
pemain muda yang berwibawa selain kehadiran tiga pemain import.
Ketua Pengarah Teknikal skuad
Polis, Mejar (B) Abdul Halim Fadzil berkata, dengan penajaan hampir RM5 juta
oleh Inai Kiara, sasaran satu piala dianggap cukup realistik untuk ditunaikan
oleh pemain.
Menurut beliau, keyakinan itu
lahir kerana Polis membuat persiapan paling mantap berbanding ketika menjulang
Piala Liga Perdana musim lalu.
Kebanyakan pemain berusia 25
tahun kebawah dan tidak ramai pemain lebih 30 tahun.
Ini kerana kita menyedari persaingan
Liga Super lebih mencabar berbanding Liga Perdana dan kerana itu barisan pemain
muda yang berwibawa mampu membawa cabaran, ujarnya dalam sidang akhbar di
sini semalam.
Menurutnya, kehadiran penyerang
Singapura, Ahmad Latiff serta dua pemain kebangsaan Kenya, Michael Barasa dan
Hillary Echesa memantapkan cabaran Polis kali ini.
Polis membuka kempen Liga Super
Ahad lalu apabila membelasah Sarawak 4-1 dengan dua gol disumbangkan oleh
Hillary.
Kemenangan awal itu kata Abdul
Halim adalah penyuntik semangat memandangkan Polis akan berdepan ujian getir
apabila kempen liga bermula semula pertengahan Disember ini.
Sementara itu jurulatihnya, K.
Thaiyanathan yakin dengan kemampuan barisan pemainnya untuk memberikan saingan
sengit kepada pasukan negeri.
Jangan terkejut jika Polis
membuat kejutan itu dan kami mengidam satu piala musim ini, ujar jurulatih
itu lagi.
Beliau mengakui betapa barisan
muda kali ini tampak bertenaga berbanding musim lalu.
Lebih melegakan Thaiyanathan
ialah kehadiran tiga pemain import - dua dari Kenya dan seorang dari Singapura.
Dua pemain Kenya ini adalah
pemain yang mampu menjanjikan kemenangan ke atas Polis, katanya lagi.
Abdul Halim berkata, Polis akan
mengadakan perlawanan persahabatan menentang skuad Sukan SEA Indonesia (bawah
23) di Stadium MBPJ, Kelana Jaya 8.45 malam esok.
Tiket-tiket untuk perlawanan
itu berharga RM10 dan RM15.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=1122&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4vqLinWW4
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan