Khamis, 1 Jun 2017

Pemain PDRM bakal bantu Perlis



ARKIB : 27/07/2005

KANGAR - Pasukan Singa Utara yang masih lagi `demam' menjuarai Liga Super, sedang menguji seorang pemain skuad Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi diserap untuk mewakili pasukan itu dalam menghadapi saingan Piala Malaysia.

Eddy Gapil, 22, yang berasal dari Sabah merupakan pemain di posisi tengah sewaktu menganggotai pasukan PDRM bermula Mei tahun lalu dan kini masih bertugas sebagai anggota polis di Seremban.

Namun begitu, keputusan sama ada Eddy bakal menyarung jersi biru kuning itu akan ditentukan menerusi beberapa perlawanan persahabatan yang telah dan akan berlangsung sepanjang minggu ini.

Anak muda kelahiran Keningau itu dikatakan mempunyai bakat tersendiri untuk diletakkan di posisi tengah bagi membantu Perlis mengekalkan kejuaraan dalam saingan Piala Malaysia yang akan bermula bulan depan.

Pengurus Singa Utara, Adzmi Saad berkata, pemain yang pernah bermain dalam pasukan Sabah pada tahun 2000 hingga 2002 itu masih dalam tempoh percubaan sebelum mewakili Perlis.

``Kalau dia menunjukkan tahap permainan membanggakan, sudah tentu dia akan menjadi pemain Perlis,'' katanya kepada pemberita selepas menyaksikan perlawanan persahabatan antara Perlis dengan Perak di Stadium Utama Negeri di sini malam tadi.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0727&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4ikqvdSF6
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan