AKSI separuh akhir pertama
Piala Malaysia 2016 antara Kedah menentang PDRM.
Rodly Fadly
sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pemain import
Polis Diraja Malaysia (PDRM) Andrezinho akan menjadikan perlawanan separuh
akhir kedua Piala Malaysia menentang Kedah, hujung minggu depan sebagai
serampang dua mata.
Selain mahu mencipta sejarah
bersama PDRM layak ke final, dia juga akan menjadikan pentas Piala Malaysia
sebagai ‘talian hayat’ untuk menyambung kariernya di sini pada musim depan.
Mengakui teruja untuk terus
beraksi dalam Liga Malaysia, Andrezinho berkata, hanya persembahan terbaik
bersama PDRM dalam baki saingan musim ini akan menjadi tiket untuk dia
memperoleh peluang itu.
“Kontrak saya bersama PDRM akan
tamat penghujung musim ini. Secara jujur, saya gembira dan ingin terus bermain
di sini terutama bersama pasukan berkenaan. Tapi jika PDRM tidak berminat
menyambung kontrak, saya berharap dapat memikat pasukan lain.
“Oleh itu, separuh akhir kedua
Piala Malaysia menentang Kedah kelak sangat penting bukan saja kepada pasukan
malah saya sendiri. Ini kerana jika PDRM layak ke final, ia bukan saja sejarah
buat kelab itu malah turut membantu meningkatkan nilai diri saya sebagai
pemain.
“Peluang saya untuk menyambung
kontrak bersama PDRM atau mendapat tawaran kelab lain di sini lebih cerah jika
impian itu dicapai.
“Jadi, saya perlu menjadikan
perlawanan ini sebagai medan untuk menunjukkan kemampuan sebenar sambil
membantu PDRM ke perlawanan akhir.
“Saya tidak berpuas hati dengan
permainan sendiri pada perlawanan separuh akhir pertama minggu lalu.
Persembahan saya dalam perlawanan itu hanya mencapai 70 peratus kemampuan
sebenar. Tapi, saya yakin boleh buat lebih baik.
“Dari sudut taktikal, saya dan
rakan-rakan berjaya menjalankan tugas seperti diarahkan jurulatih (Fauzi
Pilus). Kami mampu menyekat bahagian sayap Kedah daripada membuat hantaran
kepada dua penyerang importnya yang diketahui mampu menjaringkan gol.
“Tapi, sebagai perancang
pasukan, ternyata saya tidak memainkan peranan dengan berkesan di mana saya
gagal melakukan hantaran yang mampu menghasilkan gol. Mungkin kalau saya lebih
efektif malam itu, kami mampu mendapat keputusan lebih baik.
“Jadi, untuk pertemuan separuh
akhir kedua, saya mahu menebus kelemahan itu dengan memberi persembahan 100
peratus. Saya yakin dengan kemampuan PDRM untuk layak ke final, apatah lagi
dengan kelebihan gol di tempat lawan,” ujar Andrezinho.
SUMBER-Artikel ini disiarkan
pada : Sabtu, 8 Oktober 2016 @ 5:13 AM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan