Oleh MUHD. ARDIE
PUTRA SUHAIMI
SAFUWAN
menjaringkan satu gol ketika membantu PDRM menewaskan Kelantan 2-1 pada aksi
suku akhir pertama di Kota Bharu pada 28 Ogos lalu.
SKUAD Polis
Diraja Malaysia (PDRM) masih ada 90 minit lagi untuk mengesahkan tempat mereka
ke pusingan separuh akhir kempen Piala Malaysia musim ini.
Pada aksi suku
akhir pertama di Kota Bharu, 28 Ogos lepas, PDRM mengejutkan Kelantan dengan
kemenangan 2-1 dan jika mereka berjaya mengekalkan kedudukan tersebut pada
perlawanan suku akhir kedua malam ini, skuad kendalian Mohd. Fauzi Pilus itu
bakal mencatat sejarah mara ke separuh akhir kejohanan berprestij itu.
Menjelang aksi
suku akhir kedua malam ini, skuad Sang Saka Biru sudah pasti mahu
mempertahankan kelebihan mereka meskipun percaya skuad kendalian Velizar Popov
itu mempamerkan corak permainan menyerang seawal minit pertama.
Menurut Fauzi,
dia menuntut konsentrasi penuh daripada barisan pemainnya kerana menjangkakan
pasukan pelawat akan memberi tekanan dalam misi untuk mengubah kelebihan
agregat.
Sebagai rekod,
pada aksi pertama lalu, PDRM berjaya meraih kemenangan berharga menerusi
jaringan dua pemain import sensasi, Safuwan Baharudin dan Guilherme de Paula
manakala Indra Putra Mahayuddin menghadiahkan gol sagu hati buat pasukan tuan
rumah.
Pada perlawanan
itu juga, PDRM telah mengharungi permainan dengan 9 pemain setelah K. Reuben
dan de Paula dilayangkan kad merah, sekali gus terlepas peluang untuk beraksi
pada aksi suku akhir kedua malam ini.
“Saya tidak mahu
barisan pemain PDRM leka. Meskipun kami memenangi perlawanan di Kota Bharu, ia
bukanlah satu jaminan dan saya berharap khususnya di bahagian pertahanan supaya
tidak mengambil mudah dengan asakan pasukan Kelantan.
“Peluang sudah
ada di depan mata (untuk layak ke peringkat separuh akhir) kerana kami
mempunyai kelebihan satu gol. Bagaimanapun, para pemain tahu tanggungjawab
masing-masing kerana misi mereka masih belum selesai dan kami perlu kekalkan
kelebihan tersebut sebelum melangkah ke peringkat seterusnya,” kata Fauzi
ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Mengulas lanjut,
Fauzi turut membayangkan sudah mempunyai pemain pengganti untuk mengisi
kekosongan yang ditinggalkan oleh K. Reuben dan de Paula.
“Saya terpaksa
merombak strategi pasukan pada perlawanan esok (hari ini) dengan membawa masuk pemain
simpanan untuk mengisi kekosongan mereka. Saya yakin pemain yang dibawa masuk
nanti mampu menggalas tugas tersebut dengan baik,” jelasnya lagi.
Sumber-Artikel
Penuh:
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0917&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4KVhIENcW
Hakcipta terpelihara
Tiada ulasan:
Catat Ulasan