Ahad, 31 Disember 2017

PDRM, MBJB dilarang beraksi

ARKIB : 04/03/2009
Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
hafiz.ahmad@utusan.com.my

CHE MAT JUSOH

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) bakal dilarang daripada meneruskan persaingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini sekiranya gagal menjelaskan tunggakan insurans pemain dan pegawai pasukan mereka sehingga 13 Mac ini.

Jawatankuasa Pertandingan Tempatan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang bersidang semalam mendapati pasukan Liga Super dan Perdana itu masih terhutang sebanyak RM220,000 kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang sepatutnya dijelaskan pada 1 Januari lalu.

Pengerusi jawatankuasa yang juga Naib Presiden FAM, Datuk Che Mat Jusoh berkata: “Insurans ini penting, dan dapat membantu sekiranya berlaku kemalangan atau kecederaan pemain dan jika sehingga tempoh 13 Mac ini jika gagal dilunaskan, kedua-dua pasukan akan dilarang bermain serta-merta.”

Sementara itu, jawatankuasa turut mengingatkan individu dan pasukan yang didenda Jawatankuasa Tatatertib FAM atas pelbagai kesalahan minggu lalu, supaya menjelaskannya dalam tempoh 14 hari selepas mendapat surat rasmi daripada badan induk berkenaan.

“Sebarang kegagalan mematuhinya dalam tempoh yang ditetapkan, boleh mengakibatkan mereka dilarang meneruskan tugas dan aktiviti bola sepak serta-merta,” katanya selepas mesyuarat jawatankuasa itu di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.

Antara yang didenda baru-baru ini ialah jurulatih Felda United, Reduan Abdullah sebanyak RM4,000 kerana kenyataan akhbarnya; Irfan Bakti Abu Salim dari Perlis, RM7,000; selain beberapa pegawai pasukan PDRM sepanjang persaingan Liga M musim ini dan Piala Malaysia musim lalu.

Mengenai insiden pergaduhan penyokong Selangor dengan Kelantan di Stadium Shah Alam, Sabtu lalu, kata Che Mat, FAM sudah menerima laporan komisioner perlawanan Liga Super itu malah mempunyai asas untuk merujuknya kepada Jawatankuasa Tatatertib, tidak lama lagi.

Dalam perkembangan lain, katanya, persaingan bahagian tiga, Liga FAM akan diteruskan seperti biasa pada tahun ini yang melibatkan lapan pasukan iaitu empat sedia ada dan selebihnya muka baru dengan sepak mulanya ditetapkan 19 April ini.

Antara muka baru Liga FAM ialah Kelab Sukan & Rekreasi UiTM dan Pos Malaysia. T-Team yang juga juara Piala FAM dengan menewaskan MBJB musim lalu, kini bermain dalam Liga Perdana musim ini.



SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0304&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz52qHlbOua

© Utusan Melayu (M) Bhd

Rabu, 13 Disember 2017

PDRM berdepan denda RM10,000

ARKIB : 01/12/2008
Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
 
KEJUARAAN Liga Perdana yang pernah dikecapi PDRM untuk musim 2006/2007 kini bakal tinggal kenangan selepas mengambil keputusan untuk tidak meneruskan aksi di Liga Super musim ini.

PETALING JAYA - Denda RM10,000 selain penggantungan dalam tempoh tertentu daripada sebarang pertandingan anjuran Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bakal menanti Skuad Polis Diraja Malaysia (PDRM) sekiranya pasukan itu kekal mahu menarik diri daripada Liga Malaysia musim 2009, bulan depan.

Hukuman itu dianggap lebih ringan memandangkan PDRM - yang berstatus ahli gabungan FAM dengan hak peruntukan RM100,000 setahun - menyatakan penarikan diri empat hari lebih awal dari tarikh akhir pengesahan penyertaan pasukan Liga M, Jumaat lalu.

Setiausaha Agung FAM, Lt. Jen. (B) Datuk Azzuddin Ahmad berkata, sebarang pengumuman penarikan diri yang melewati tarikh tersebut bagaimanapun bakal membawa PDRM didenda lebih tinggi iaitu RM50,000 oleh Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM.

"FAM akan menjawab secara rasmi surat penarikan diri PDRM (minggu ini) tetapi mahu cuba menasihatkan supaya menimbangkan semula keputusan itu kerana tidak molek jika sesebuah ahli gabungan sepertinya tidak mengambil bahagian," katanya di Wisma FAM, Kelana Jaya.

Azzuddin bagaimanapun menafikan PDRM pernah meletakkan syarat tertentu dalam surat penarikan diri itu supaya kadar peruntukan tahunan FAM itu dinaikkan untuk membolehkan mereka kekal menyertai pertandingan Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia serta Piala Presiden 2009.

PDRM dikatakan mahu 'angkat kaki' berikutan pengunduran penaja utamanya sejak dua musim lalu, Inai Kiara Sdn. Bhd., yang mengakibatkan mereka terpaksa melepaskan ramai pemain handalan ke pasukan lain serta cuma bergantung kepada anggota dan kakitangan tetap yang mungkin sukar menyaingi lawan.

Sementara itu, jelas Azzuddin, Kelantan secara lisannya telah diberitahu bahawa mereka layak menyertai Liga Super daripada Liga Perdana musim depan sekiranya PDRM benar-benar mengotakan hasrat untuk menarik diri menjelang tarikh undian Liga M pada 6 Disember ini.

"Pasukan itu bakal dinaikkan kerana menduduki tempat ketiga di belakang Kuala Muda Naza dan KL PLUS dalam Liga Perdana 2007-2008 atau mungkin pasukan di tempat ketiga, keempat atau kelima Liga FAM musim lalu, turut boleh mengambil alih tempat yang ditinggalkan Kelantan itu," katanya.

Tiga pasukan yang mengekori T-Team dan Majlis Bandaraya Johor Bahru (turut menyertai Liga Perdana musim depan) di tempat ketiga hingga kelima Liga FAM ialah SD Mai Sarah, Majlis Perbandaran Muar dan KSK Tambun Tulang.

Namun beliau menegaskan, jawatankuasa perlu mengkaji keadaan tiga pasukan Liga FAM itu yang kesemuanya bertaraf kelab khususnya dari segi kemampuan kewangan mereka untuk menyertai Liga Perdana memandangkan terdapat beberapa pasukan lain sebelum ini yang tidak sanggup menyahut cabaran itu.

Difahamkan sehingga Sesi Percambahan Pemikiran Liga M 2010-2014 di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil, Rabu lalu, hanya tiga kelab yang sudah mengesahkan penyertaan dalam Liga FAM yang diibaratkan sebagai persaingan bahagian tiga pasukan kebangsaan, musim depan.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1201&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz519bNBiWL

© Utusan Melayu (M) Bhd

Ahad, 26 November 2017

Polis uji Malaysia sebelum ke Surabaya

ARKIB : 28/05/2008
KUALA LUMPUR - Skuad kebangsaan hanya mendapat satu ujian pemanas badan dengan menentang pasukan Liga Super, Polis yang baru-baru ini dibelenggu kes rasuah bola sepak menjelang perlawanan persahabatan dengan Indonesia di Surabaya, 6 Jun ini, lapor ABDUL HAFIZ AHMAD.

Perlawanan di Wisma FAM, Kelana Jaya, esok turut akan menjadi pembayang awal bagi ketua jurulatih, B. Sathianathan dalam mencari kesebelasan utama skuad negara seterusnya menyenaraikan 20 pemain terbaik ke Stadium Gelora 10 November, Tambaksari, Surabaya.

"Cuma satu perlawanan itu yang diperoleh untuk menguji pasukan negara selain sesi latihan harian sebagai persediaan sebelum kami ke sana pada 4 Jun ini," katanya yang memiliki 30 pelatih sejak mereka dipanggil melapor diri ke Wisma FAM pada 20 Mei lalu.

Pemain tengah, K. Nanthakumar dan bek tengah, Chan Wing Hoong dari Perak yang masih tercedera, terpaksa diketepikan manakala dua bek kiri masing-masing dari Perlis dan Pahang, Fauzie Nan dan Rosdi Talib dikecualikan kerana masalah peribadi.

Persahabatan di Surabaya penting dalam memperbaiki ranking ke-169 Malaysia dalam Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) walaupun terdapat negeri mahu memanggil balik pemain bawah 23 tahun daripada skuad ini bagi menghadapi Sukan Malaysia (Sukma) Ke-12 di Terengganu.

Inilah perlawanan antarabangsa pertama yang diiktiraf FIFA buat Malaysia sejak seri tanpa jaringan dengan Bahrain dalam perlawanan kedua pusingan pertama Kelayakan Piala Dunia 2010 di Shah Alam sekali gus kalah secara agregat 4-1 selepas di Manama, Oktober lalu.

Malaysia yang dibarisi ramai pemain bawah 23 tahun, gagal ke separuh akhir Piala Antara Benua di Petaling Jaya pada minggu lalu selepas cuma menduduki tempat ketiga Kumpulan A dengan dikalahkan Ireland 3-1, menewaskan Iraq 1-0 dan mengikat Nigeria 1-1.

Lapan pemainnya, turut diserapkan semula ke skuad pelatih menjelang ke Surabaya iaitu ketua pasukan - Shukor Adan, Norhafiz Zamani Misbah, Safee Sali, Zaquan Adha Radzak, Daudsu Jamaluddin, Azi Shahril Azmi, S. Subramaniam dan Amirulhadi Zainal.

Sebaliknya Indonesia mempunyai tiga perlawanan persahabatan antarabangsa yang mencukupi termasuk menentang Oman, semalam, dibelasah kelab Jerman, Bayern Munich 5-1 pada 22 Mei lalu dan menewaskan Yemen 1-0 di Bandung, April lalu.

Kali terakhir Malaysia menentang Indonesia (ranking 131 FIFA) ialah dalam Pestabola Merdeka pada 23 Ogos 2006 di Shah Alam yang berkesudahan seri 1-1 apabila jaringan pendahuluan Bambang Pamungkas disamakan oleh gol sendiri rakannya, Muhammad Ridwan.

Liew Kit Kong, salah seorang anggota skuad pelatih ketika ini, pernah menjaringkan dua gol ketika Malaysia mengejutkan Indonesia 2-1 pada perlawanan separuh akhir pertama Piala Tiger 2004 di Stadium Gelora Bung Karno, Senayan, Jakarta.

Kedua-dua negara menjadikan perlawanan persahabatan ini sebagai persediaan menghadapi Kejohanan AFF (Persekutuan Bola Sepak ASEAN) Ketujuh atau dulunya Piala Tiger di Indonesia dan Thailand dari 5 hingga 28 Disember ini
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0528&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4zWibm1JS

© Utusan Melayu (M) Bhd

Isnin, 23 Oktober 2017

PDRM ada alasan tewas




KAMI tewas kerana beraksi dalam keadaan ‘tempang’ tanpa kehadiran beberapa pemain utama.

Demikian jelas jurulatih Polis Diraja Malaysia (PDRM), K. Thaiyanathan ketika pasukannya mengulas mengenai kekalahan 0-2 kepada UPB-MyTeam pada aksi Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya malam kelmarin.

Menurutnya, PDRM tidak berada dalam kedudukan terbaik kerana tiga pemain utama tidak boleh diturunkan kerana mengalami demam panas.

Selain itu katanya, dua tonggak termasuk pemain import, Hillary Echesa dan penyerang Mohd. Fadly Kassim tidak diturunkan kerana masih dibelenggu kecederaan.

“Ia adalah perlawanan terburuk kami kerana beberapa masalah yang membelenggu pasukan.

“Tiga pemain utama, Wan Zaman Wan Mustafa, Mohd. Faizol Che Noh dan Mohd. Arman Zairi Mohd. Johan tidak boleh diturunkan kerana mengalami demam panas.

“Ketiga-tiga pemain ini mengalami demam panas sejak Khamis lalu dan mereka dinasihat- kan tidak beraksi pada perlawanan itu,” kata- nya kepada KOSMO! semalam.

Thaiyanathan berkata, beliau terpaksa melakukan rombakan ekoran ketiadaan beberapa pemain utama.

“Kami terpaksa menggunakan pemain baru dan ini menyukarkan untuk menyusunkan strategi.

“Kalau kita menggunakan pemain lama mereka sudah tahu apa yang perlu dilakukan,” tambahnya.

PDRM kini berada di tangga kelapan liga dengan mengumpul 12 mata.

SUMBER-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=0121&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4wLF0FMht
Hakcipta terpelihara

Rabu, 18 Oktober 2017

Polis sasar satu piala



ARKIB : 22/11/2007

Oleh amran MULUP

KUALA LUMPUR – Sasaran satu piala pada saingan bola sepak Liga Super musim ini dianggap realistik bagi pasukan Polis dan ia tidak mustahil untuk ditunaikan.

Juara Liga Perdana musim lalu itu jelas cukup bersedia mengharungi saingan Liga Super yang dianggap lebih getir kerana bersaing dengan lebih banyak pasukan bola sepak negeri.

Begitupun Polis tidak sangsi mampu menghasilkan satu piala selain mengidam kedudukan lima pasukan terbaik.

Keyakinan Polis makin bertambah sejak ditaja oleh syarikat Inai Kiara menyaksikan mereka mampu melamar beberapa pemain muda yang berwibawa selain kehadiran tiga pemain import.

Ketua Pengarah Teknikal skuad Polis, Mejar (B) Abdul Halim Fadzil berkata, dengan penajaan hampir RM5 juta oleh Inai Kiara, sasaran satu piala dianggap cukup realistik untuk ditunaikan oleh pemain.

Menurut beliau, keyakinan itu lahir kerana Polis membuat persiapan paling mantap berbanding ketika menjulang Piala Liga Perdana musim lalu.

‘‘Kebanyakan pemain berusia 25 tahun kebawah dan tidak ramai pemain lebih 30 tahun.

‘‘Ini kerana kita menyedari persaingan Liga Super lebih mencabar berbanding Liga Perdana dan kerana itu barisan pemain muda yang berwibawa mampu membawa cabaran,’’ ujarnya dalam sidang akhbar di sini semalam.

Menurutnya, kehadiran penyerang Singapura, Ahmad Latiff serta dua pemain kebangsaan Kenya, Michael Barasa dan Hillary Echesa memantapkan cabaran Polis kali ini.

Polis membuka kempen Liga Super Ahad lalu apabila membelasah Sarawak 4-1 dengan dua gol disumbangkan oleh Hillary.

Kemenangan awal itu kata Abdul Halim adalah penyuntik semangat memandangkan Polis akan berdepan ujian getir apabila kempen liga bermula semula pertengahan Disember ini.

Sementara itu jurulatihnya, K. Thaiyanathan yakin dengan kemampuan barisan pemainnya untuk memberikan saingan sengit kepada pasukan negeri.

‘‘Jangan terkejut jika Polis membuat kejutan itu dan kami mengidam satu piala musim ini,’’ ujar jurulatih itu lagi.

Beliau mengakui betapa barisan muda kali ini tampak bertenaga berbanding musim lalu.

Lebih melegakan Thaiyanathan ialah kehadiran tiga pemain import - dua dari Kenya dan seorang dari Singapura.

‘‘Dua pemain Kenya ini adalah pemain yang mampu menjanjikan kemenangan ke atas Polis,’’ katanya lagi.

Abdul Halim berkata, Polis akan mengadakan perlawanan persahabatan menentang skuad Sukan SEA Indonesia (bawah 23) di Stadium MBPJ, Kelana Jaya 8.45 malam esok.

Tiket-tiket untuk perlawanan itu berharga RM10 dan RM15.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=1122&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4vqLinWW4
© Utusan Melayu (M) Bhd

Polis makin tunjuk garang



 
ARKIB : 22/11/2007
Pemain Terengganu, Gliesson Freire (kanan) berebut bola dengan pemain Sarawak, Firdaus Morshidi dalam perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, semalam.

KUALA LUMPUR – Polis terus menunjukkan belang untuk terus mengungguli persada teratas mencatat kemenangan kedua berturut-turut apabila menewaskan Pulau Pinang 2-0 dalam perlawanan bola sepak Liga Super di Stadium MPS, Selayang, semalam.

Dua gol jaringan bintang import dari Kenya, Hillary Echesa pada minit ke-53 dan pemain Singapura, Ahmad Latif Kamaruddin di minit 78 sudah cukup menjamin tiga mata penuh buat Polis.

Polis unggul dengan dua kemenangan berturut-turut untuk mengutip enam mata penuh.

Di Stadium MBPJ, Perak turut memahatkan kemenangan kedua apabila menewaskan MyTeam 1-0.

Gol tunggal jaringan ketua pasukan, Ahmad Shahrul Azhar pada minit ke-86 sudah cukup melegakan buat Perak terus mengekori rapat pendahulu Polis.

Di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Terengganu meraih kemenangan pertama apabila membelasah Sarawak 4-0 menebus kekalahan pertama dalam saingan pertama Ahad lalu.

Gol-gol tuan rumah dijaringkan oleh Mohd. Ashari Samsuddin di minit 33), Che Hishamuddin Hassan (36), Zairul Anuar Zailani (59) dan Fabio Flor (82).

Stadium Darul Makmur, juara tiga piala musim lalu Kedah meraih kemenangan sulung apabila menewaskan Pahang 2-1.

Nelson Martin menjaringkan gol pembukaan Kedah sebelum diikat oleh tuan rumah menerusi Bironse Abed di minit ke-64.

Dua minit selepas itu Kedah mencatat kemenangan apabila Marlon Alex James mencipta jaringan kedua hijau kuning.

Stadium Shah Alam Mohd. Amri Yahyah menjadi penyelamat apabila jaringannya membantu Selangor seri 1-1 berdepan Johor FC.

Eddy Helmi Manan membuka jaringan di minit 65 buat Johor FC tetapi jaringan lewat permainan Amri Yahyah menyelamatkan Selangor daripada kekalahan.

Stadium Negara Hasanal Bolkiah Negeri Sembilan mencatat kemenangan pertama apabila menewaskan Brunei DPMM 1-0

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=1122&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4vqKNTibp
© Utusan Melayu (M) Bhd

Jumaat, 29 September 2017

Polis hampiri gelaran liga



 
ARKIB : 06/06/2007
Pemain import Shahzan Muda, Abdulafees Abdul Salam (kiri) berjaya melepasi kawalan ketat dua pemain Kuala Muda Naza, Mazlizam Mohamad (kanan) dan Shukri Fadzil (terbaring) dalam perlawanan bola sepak Liga Perdana di Stadium Darul Makmur, malam tadi. Shahzan Muda menang 2-1. – Gambar RUSHDI SALLEH.

KUALA LUMPUR – Pendahulu, Polis hanya dipisahkan daripada dua perlawanan untuk bergelar juara dan melangkah ke Liga Super musim depan selepas menewaskan KL Plus 3-1 dalam perlawanan bola sepak Liga Perdana di Stadium MPS, Selayang, semalam.

Kemenangan bergaya itu membolehkan Polis mengutip 40 mata untuk terus mengukuhkan kedudukan di tangga teratas membuka jaringan seawal minit ketujuh menerusi Michael Barasa..PDRM memperoleh gol keduanya menerusiJalil Sulaiman (m-65) dan Hillary Echesa (m-79).

Gol saguhati KL Plus dijaringkan oleh pemain pertahanan Hishammuddin Othman (m-77).

Di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, UPB-MyTeam bangkit dari ketinggalan satu gol untuk menewaskan Kelantan 2-1.

Kelantan membuka jaringan pada minit ke-10 menerusi rembatan Mohd Saufi Sa’aidi namun UPB-MyTEAM menyamakan kedudukan pada minit ke-50 menerusi Mohd Harris Safwan.

Gol kemenangan pasukan kelab itu dijaringkan pada minit ke-85 oleh Hasmizan Kamaroddin.

UPB/MyTeam masih kekal di tangga kedua Liga Perdana mengumpul 35 mata.

Di Stadium Darul Makmur, Victor Alesandro Gonzalez muncul hero buat Shahzan Muda mengutip tiga mata berharga apabila menang tipis 2-1 ke atas Kuala Muda Naza.

Alesandro Gonzalez mencipta dua jaringan menarik pada minit ke-41 dan 51.

Manakala gol tunggal Kuala Muda Naza dijaringkan oleh Ojeda Daniel Fortunato pada minit ke-77.

Buat Kuala Muda Naza kekalahan itu buat kali ke-11 musim ini.

Di Stadium MBPJ Kelana Jaya, ATM mengutip kemenangan bergaya apabila membuat kejutan menewaskan PKNS 3-0.

Kemenangan bergaya ATM melonjakkan pasukan itu daripada menghuni tangga terbawah liga.

Di Stadium Larkin, Johor Pasir Gudang yang tersingkir daripada aksi di separuh akhir Piala FA membuat kejutan apabila menewaskan Sabah 1-0.

Kekalahan buat skuad Badak tampak menyukarkan pasukan itu untuk mencabar kedudukan Polis dan UPB/MyTeam yang kian kukuh untuk mara ke Liga Super musim depan.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0606&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4u8aLS0yN
© Utusan Melayu (M) Bhd