14 Oktober 2016 12:30 AM
FAKRUL AIMAN SIDID telah
menunjukkan prestasi yang baik kebelakangan ini sehingga terpilih untuk
menyarung jersi Harimau Malaysia.
KUALA LUMPUR 13 Okt. –
Penyerang Polis Diraja Malaysia (PDRM), Fakrul Aiman Sidid berjanji akan
memberi aksi terbaik dalam misi memburu tempat ke final Piala Malaysia sekali
gus bakal memahat sejarah paling manis untuk kelab itu.
Bagaimanapun, dia sedar bukan
tugas mudah berdepan Kedah dalam separuh akhir kedua di Stadium Hang Jebat
Sabtu ini berikutan kelebihan jaringan yang dimiliki pihak lawan namun bukan
mustahil untuk menang seandainya PDRM tampil lebih berani berbanding ketika
tewas 1-2 di Alor Setar pada 30 September lalu.
Aiman, yang sebelum ini beraksi
bersama DRB-Hicom, menyeru rakan sepasukannya supaya mencari gol awal selain
berwaspada dengan ancaman barisan serangan skuad Lang Merah.
“Ini adalah peluang terakhir
untuk pasukan meraih piala musim ini dan apabila telah melangkah hingga ke
peringkat ini (separuh akhir) maka kami harus menyerang habis-habisan.
“Mengenai defisit gol, kami
tidak mahu memikirkan sangat kerana fokus utama adalah perlawanan Sabtu ini
iaitu cuba mencari gol awal dan memanfaatkan setiap peluang dengan sebaik
mungkin.
“Jika gagal menjaringkan gol
maka harapan kami akan musnah. Perlawanan ini boleh diibaratkan seperti aksi
final dan peluang masih terbuka buat kedua-dua pasukan. Kami juga harus
memastikan gawang tidak dibolosi,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di
sini hari ini.
Sumber-UTUSAN MALAYSIA ONLINE
14 Oktober 2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan